Thursday 24 December 2015

Kiasan Dalam Masyarakat Melayu

( ulasan ini berdasarkan artikal Emosi dan Sentimen Melayu Teruji Melalui Penggunaan Kiasan Melayu oleh Jamaliah Mohd. Ali dan Norazlina Haji Mohd. Kiram dalam buku Emosi Melayu)





Melayu sudah sinonim dengan bahasa-bahasa kiasan yang penuh makna dan pengajaran. Sifat menjaga hati serta perasaan orang lain menjadi salah satu sikap yang sebati dalam peribadi serta kebudayaan bangsa ini. Dalam mendepani arus globalisasi, masyarakat terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan yang paling tercabar apabila menghadapi kerenah manusia yang pelbagai. Perasaan yang bercampur baut disebabkan sikap khilaf seorang manusia menjadikan seseorang itu mudah melakukan kesilapan. Malahan setiap kesilapan ini mudah dilihat oleh masyarakat persekitaran. Namun, menjadi kebiasaan sikap masyarakat Melayu yang gemar mengambil tahun perihal orang lain cuba untuk menasihati atau menegur kesilapan tersebut demi kebaikan dan sebaliknya. Oleh hal demikian, teguran yang muncul dalam bentuk kiasan adalah salah satu cara terbaik dalam membetulkan kesilapan seseorang tanpa menjatuhkan air mukanya. Hal ini cukup memperlihatkan bahawa bangsa Melayu ini adalah bangsa yang cintakan kedamaian.

Kiasan sebenarnya melambangkan akal budi bangsa Melayu itu sendiri. Kegeniusan bangsa Melayu dalam memberi nasihat serta teguran tanpa memalukan individu terbabit cukup membuktikannya. Penggunaan elemen persekitaran yang logik serta bersesuaian mengukuhkan lagi  kebijaksanaan penciptaan kiasan tersebut. Pantun yang sedia maklum menjadi hak milik Melayu hanya terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu sahaja. Bagaimana penciptaannya mampu memberi inti pati kepada masyarakat selain daripada unsur kiasan yang mampu menyengat kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat.




Sikap marah dan tidak sabar sebenarnya bukan sikap masyarakat Melayu. Hal ini dapat dilihat dengan cara bagaimana orang Melayu itu menyelesaikan sesuatu permasalahan. Daripada cara mendidik anak-anak malahan kritikan terhadap pemerintah sekalipun diungkap melalui kiasan supaya tidak timbul unsur kekecohan dalam kehidupan masyarakat. Malahan kini, kiasan masih releven dalam penggunaan seharian masyarakat Melayu.  Oleh itu, menjadi kewajaran masyarakat kini dalam mengekalkan tradisi  ini sebagai tradisi yang berterusan bagi mengekalkan jati diri bangsa Melayu sehingga ke anak cucu seperti ungkap lama ‘Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. 

No comments:

Post a Comment