Thursday 24 December 2015

Pepatah Melayu Berkaitan Ekonomi

( ulasan ini berdasarkan artikal Pemikiran Ekonomi Masyarakat Melayu: Tumpuan Terhadap Pepatah Melayu oleh Joni Tamkin Bin Borhan dan Mohd. Yahya Bin Mohd. Hussin dalam buku Emosi Melayu)



Melayu sangat pintar dalam mencipta sesuatu yang mampu memberi dorongan serta panduan kepada generasi akan datang. Penciptaan pepatah Melayu khususnya bukan sahaja berfokus kepada fungsi menasihati atau memerli, tetapi berperanan dalam mencorakkan dan menggambarkan keadaan sosial-budaya masyarakat Melayu. Gaya hidup, politik, pendidikan, gaya hidup, kebudayaan malahan ekonomi juga terdapat dalam pepatah Melayu yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu.

Islam mengajar umatnya agar berusaha, berdoa kemudian berserah kepada Allah dalam mengaturkan rezeki mereka. Perkara ini sebenarnya dipegang oleh mereka dalam menjalankan kegiatan ekonomi. Elemen nilai, sabar, usaha, berjimat-cermat, kerjasama dan rezeki adalah perkara yang terdapat dalam pepatah Melayu khas dalam mempamerkan pemikiran bangsa Melayu kepada umum.

Kesimpulannya, pepatah Melayu merupakan suara hati dan cara berfikir orang Melayu dalam menyentuh persoalan ekonomi melalui pengajaran, nasihat dan anjuran yang terdapat di dalam pepatah Melayu. Kesemua elemen-elemen yang dinyatakan merupakan gambaran pemikiran ekonomi Melayu selari dengan nilai pemikiran Islam yang bersumberkan daripada Al-Quran dan al-Hadis, amalan sahabat dan pandangan ahli ekonomi Islam semasa. 

Kiasan Dalam Masyarakat Melayu

( ulasan ini berdasarkan artikal Emosi dan Sentimen Melayu Teruji Melalui Penggunaan Kiasan Melayu oleh Jamaliah Mohd. Ali dan Norazlina Haji Mohd. Kiram dalam buku Emosi Melayu)





Melayu sudah sinonim dengan bahasa-bahasa kiasan yang penuh makna dan pengajaran. Sifat menjaga hati serta perasaan orang lain menjadi salah satu sikap yang sebati dalam peribadi serta kebudayaan bangsa ini. Dalam mendepani arus globalisasi, masyarakat terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan yang paling tercabar apabila menghadapi kerenah manusia yang pelbagai. Perasaan yang bercampur baut disebabkan sikap khilaf seorang manusia menjadikan seseorang itu mudah melakukan kesilapan. Malahan setiap kesilapan ini mudah dilihat oleh masyarakat persekitaran. Namun, menjadi kebiasaan sikap masyarakat Melayu yang gemar mengambil tahun perihal orang lain cuba untuk menasihati atau menegur kesilapan tersebut demi kebaikan dan sebaliknya. Oleh hal demikian, teguran yang muncul dalam bentuk kiasan adalah salah satu cara terbaik dalam membetulkan kesilapan seseorang tanpa menjatuhkan air mukanya. Hal ini cukup memperlihatkan bahawa bangsa Melayu ini adalah bangsa yang cintakan kedamaian.

Kiasan sebenarnya melambangkan akal budi bangsa Melayu itu sendiri. Kegeniusan bangsa Melayu dalam memberi nasihat serta teguran tanpa memalukan individu terbabit cukup membuktikannya. Penggunaan elemen persekitaran yang logik serta bersesuaian mengukuhkan lagi  kebijaksanaan penciptaan kiasan tersebut. Pantun yang sedia maklum menjadi hak milik Melayu hanya terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu sahaja. Bagaimana penciptaannya mampu memberi inti pati kepada masyarakat selain daripada unsur kiasan yang mampu menyengat kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat.




Sikap marah dan tidak sabar sebenarnya bukan sikap masyarakat Melayu. Hal ini dapat dilihat dengan cara bagaimana orang Melayu itu menyelesaikan sesuatu permasalahan. Daripada cara mendidik anak-anak malahan kritikan terhadap pemerintah sekalipun diungkap melalui kiasan supaya tidak timbul unsur kekecohan dalam kehidupan masyarakat. Malahan kini, kiasan masih releven dalam penggunaan seharian masyarakat Melayu.  Oleh itu, menjadi kewajaran masyarakat kini dalam mengekalkan tradisi  ini sebagai tradisi yang berterusan bagi mengekalkan jati diri bangsa Melayu sehingga ke anak cucu seperti ungkap lama ‘Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. 

Pandangan Kosmologis Islam

(ulasan ini berdasarkan artikal oleh Hamid Fahmy Zarkasyi dalam Pandangan Hidup (Alam) Islam "The Worldview of Islam" Sebagai "Framework Study Islam")



Islam merupakan agama yang mampu dijadikan rujukan oleh semua golongan masyarakat. Kebenaran serta kesahihan maklumat yang terdapat dalam Al-Quran sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Segala inti pati Al-Quran sudah berada sebelum penemuan sesuatu perkara oleh ahli sains lagi.  Prinsip-prinsip Islam yang diterapkan menjadi panduan serta pandangan masyarakat terhadap orang  bukan Islam.





Penciptaan bumi dan alam semesta sudah terdapat di dalam Al-Quran malahan ia benar dan sahih. Hal ini kerana, alam dilihat sebagai ciptaan yang benar terdapat di dalam Al-Quran. Ahli astronomi Barat menggunakan ilmu dan maklumat yang terdapat dalam Al-Quran serta sarjana Islam dalam mengkaji serta menyelesaikan sesuatu persoalan mengenai alam semesta. Malah apa yang mereka temui dalam sumber Islam ini adalah benar dan sahih. 

Stereotaip Terhadap Melayu Malas

( Ulasan ini berdasarkan pemahaman daripada artikal Mitos Peribumi Malas oleh Syed Hussien Al-Attas)


Sering kali kita mendengar tentang tanggapan bahawa peribumi malas khususnya terhadap golongan bangsa Melayu. Hal ini sebenarnya sudah menjadi satu tanggapan atau stereotaip yang paling utama bangsa lain malahan ada juga bangsa Melayu juga melihat bahawa kenyataan ini benar. Sejauh mana kebenaran ini?

Tanggapan ini muncul apabila pihak kolonial berupaya mempengaruhi mentaliti masyarakat tentang tanggapan ini. Motifnya mudah, untuk menjatuhkan keyakinan serta menguasai ekonomi Tanah Melayu satu ketika dahulu semasa zaman penjajahan mereka. Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang mengutamakan tradisi. Sebab itulah, kita lihat orang Melayu selesa berada di kawasan kampung kerana mereka mahir dalam melakukan pekerjaan tradisional seperti bertani, nelayan dan menternak. Sehingga kini, pekerjaan ini masih di dominasi oleh masyarakat Melayu. Mungkin orang melihat bahawa kedai-kedai di bandar di kuasai oleh bangsa Cina dari dahulu sehingga kini. Walhal hal ini merupakan kesan dasar kerajaan iaitu Dasar Ekonomi Baru di mana menetapkan bahawa bangsa Melayu menjalankan kegiatan ekonomi di kawasan pendalaman atau desa, bangsa India di ladang atau estet, dan bangsa Cina di kawasan Bandar. Kesan ini yang dapat dilihat sehingga sekarang. Bagi menjawab persoalan mitos peribumi malas ini, perlu dahulu dikaji secara mendalam kebudayaan serta kegiatan harian masyarakat Melayu.



Stereotaip ini masih lagi menjadi persoalan terhadap generasi kini. Tapi jika kita teliti kembali, bangsa Melayu kini bukan seperti yang digambarkan oleh Barat dahulu. Sekarang sudah ramai bangsa Melayu terlibat dalam pembangunan ekonomi negara. Melayu sememangnya terikat dnegan kehendak syariat Islam. Hal ini bukan menjadi bebanan atau punca kepada situasi ini, tetapi menajdi keistimewaan kerana Islam menolak sistem Kapitalis malahan terhadap pekrjaan yang tidak boleh dilakukan oleh umat Islam demi memelihari kesucian agama Islam itu sendiri. Industri perniagaan sudah melibatkan bangsa Melayu. Malahan mereka menjadi dominasi terbesar dalam dunia perniagaan sehingga ramai jutawan daripada bangsa Melayu lahir. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga dikuasai oleh golongan peribumi dan mereka maju sehingga produk mereka bukan sahaja terdapat di Malaysia malahan di luar negara. Jumlah pelajar Melayu juga banyak berbanding dengan bangsa lain. Hal ini cukup membuktikan bahawa tanggapan bahawa golongan Melayu itu malas sama sekali tidak boleh dikira. 

TOLERANSI DALAM ISLAM DI MALAYSIA

( ulasan ini berdasarkan artikal Islam dan Falsafahnya dalam Kebudayaan Melayu oleh Idris Zakaria)



Sebelum Islam bertapak di Dunia Kepulauan Melayu, sedia maklum bahawa kebudayaan serta kepercayaan masyarakat Melayu ketika itu di pengaruhi oleh kebudayaan serta kepercayaan Hindu- Buddha. Malahan kerangka fikiran masyarakat ketika itu juga dipengaruhi oleh unsur mitos dan khayalan di mana tidak memberi sebarang kefahaman akan kepentingan aspek-aspek rasionalisme dan intelektualisme. Namun kehadiran agama Islam telah membawa kepada transformasi besar-besaran yang melibatkan perubahan falsafah kehidupan, pemikiran dan jiwa orang-orang Melayu di Alam Melayu.  Bagaimana falsafah dan Islam mudah diterima dalam kebudayaan masyarakat Melayu walaupun asal kepercayaan masyarakat Melayu dahulu adalah berlainan daripada landasan agama Islam?


Islam mengamalkan ajaran dan kehidupan yang penuh toleransi dan damai. Islam yang direka oleh Barat khususnya yang membawa kepada pandangan bahawa Islam adalah agama keganasan, agama pemberontak malah agama yang membenci kedamaian sama sekali tidak berasas. Hal ini kerana Islam itu sendiri bersifat pemurah dan damai. Bagaimana kehendak Islam itu sendiri yang cintakan keamanan. Syarat-syarat berperang mengikut Islam sudah cukup memperlihatkan bagaimana Islam itu bersifat damai dan toleransi. Di Malaysia, toleransi ini dapat dilihat dalam penerimaan kepelbagaian agama dalam masyarakat serta menghormati kepercayaan masyarakat sekeliling tanpa berlakunya pertumpahan darah. Bagaimana pembinaan masjid serta gereja boleh dibina bersebelahan tanpa mengundang permasalahan cukup mempamerkan bahawa Islam itu bersifat damai dan toleransi khususnya perihal hal kepercayaan masing-masing selagi tidak mengundang kepada kekeliruan masyarakat.   



Toleransi ini juga dapat dilihat dalam isu makanan halal masyarakat Islam. Sedia maklum mengetahui bahawa khinzir merupakan bintang yang haram di makan dan disentuh oleh umat Islam. Namun, Islam tidak mengganggu agama lain memakannya selagi agama lain menghormati kehendak serta panduan malah sensitiviti masyarakat Islam. Isu anjing yang diletakkan di dalam troli sebuah pasar raya awam di Malaysia baru-baru ini merupakan salah satu isu yang sangat sensitif untuk masyarakat Islam. Namun ia berjaya diredakan apabila pihak pasar raya tersebut telah menyucikan kesemua troli tersebut mengikut syariat Islam bagi menghormati masyarakat Islam. Hal ini mungkin telah diatasi dengan tenang kerana Islam itu sendiri cukup memberi masyarakat sekelilingnya menyenangkan dan memudahkan.   

Wednesday 23 December 2015

Novel Popular Melayu kini sebagai Cerminan Nilai Budaya Melayu Kini

(Ulasan ini berdasarkan artikel Novel-novek Melayu Mutakhir:Analisis Cerminan Nilai Budaya Bangsa oleh Ramli Isin)


Perkembangan industri penulisan kreatif di Malaysia bukan sahaja terarah dalam penulisan kreatif novel dan cerpen sahaja. Namun, masyarakat kini masih menjadikan novel dan cerpen sebagai bahan pilihan dalam mengisi masa lapang selain minat terhadap pembacaan genre ini. Kelahiran ramai penulis muda malahan hasil penulisan kreatif ini telah mewarnai perkembangan penulisan genre ini kini. Jika dahulu sukar untuk kita memperoleh novel kanak-kanak, namun kini genre ini begitu serius dalam perkembangannya. Begitu juga dalam penulisan novel popular yang jika kita lihat begitu banyak nama-nama baru yang muncul menghasilkan novel-novel popular ini. Hal ini mungkin dilihat kepada khalayak yang menjadi genre ini sebagai penggemar tegar sehingga begitu banyak novel dihasilkan. Namun sejauh mana novel-novel popular kini mampu mempengaruhi minda masyarakat Melayu dalam mengenali jati diri mereka? Sejauh mana novel-novel popular ini memberi nilai didaktik kepada khalayak? Dan persoalan terakhir sejauh mana novel-novel popular ini mampu menjadi cerminan masyarakat sebagai rujukan.



Tidak disangkal lagi, penulisan kreatif kini mementingkan nilai komersial. Hal ini kerana kehendak semasa di mana menulis genre ini merupakan salah satu punca pendapatan kepada pengkarya. Oleh hal demikian, penulis akan cuba mencipta kelainan untuk menarik minat khalayak untuk memiliki novel yang ditulis. Penyerapan unsur dan nilai budaya moden merupakan kesan daripada kepesatan pembangunan infrastruktur yang membawa kesan fizikal dan rohaniah yang dijalankan oleh pemerintah dan swasta.  Pemilihan jalan cerita yang bersesuaian dengan sasaran khalayak perlu diambil perhatian oleh penulis. Cerita cinta terhalang, cinta golongan atasan dengan orang miskin, dan  cinta tiga segi menjadi keutamaan kepada masyarakat Melayu. Walaupun kita lihat setiap jalan cerita antara novel-novel ini hampir sama, namun masih menjadi pilihan para remaja. Melihat kepada tajuk novel sahaja cukup mempamirkan satu tanggapan kepada khalayak untuk membaca. Ianya seperti daya tarikan. Namun wajarkan tajuk-tajuk sebegini dijadikan sebagai tajuk utama novel.Contoh yang mudah adalah novel  Love You Mr. Arrogant, Suamiku Encik Sotong, Suamiku Encik Perfect, Rindu Awak 200%, The Wedding Breaker, dll cukup memperlihatkan bagaimana motif percintaan dan darjat menjadi keutamaan penulis dalam mempengaruhi pasaran genre kreatif ini.






Perkahwinan paksa atau tidak rela juga menjadi motif wajib dalam pengisian cerita novel popular. Begitu juga cinta terhalang oleh orang tua sehingga menimbulkan penentangan watak terhadap ibu bapa. Di mana cinta antara lelaki dan wanita lebih hebat daripada cinta terhadap ibu bapa. Begitu juga dengan perekaan watak wanita yang jahil terhadap agama akhirnya akan menuju kepada pilihan yang benar. Kewujudan watak wanita jahat yang berfungsi sebagai watak penghalang dalam sesebuah perhubungan sebenarnya telah menjatuhkan martabah dan keistimewaan wanita dalam masyarakat sedangkan yang menulis novel tersebut adalah wanita. Hujan ini bukan untuk melindungi cela dalam watak-watak wanita jahat yang sememangnya terdapat dalam realiti masyarakat tetapi tanggapan masyarakat terhadap wanita akan terus terpesong dengan tanggapan yang cuba diterapkan. Jurang pangkat antara golongan orang kaya dan miskin juga menjadi satu motif dalam karya popular kini. hal ini realitinya masih dominan dalam kalangan masyarakat Melayu kini. Hal demikian tidak hairanlah jika ia menjadi salah satu motif dalam mempamerkan kehidupan masyarakat kini.  

Rumusannya dapat dilihat bahawa penulisan kreatif seperti novel dan cerpen Melayu kini sudah seiringan dengan kehendak semasa di mana nilai menjadi salah satu punca pendapatan. Walaupun ia bukan sepenuhnya mempamerkan corak kehidupan serta kebudayaan masyarakat kini keseluruhannya, tetapi masih mempamerkan sebahagian pantulan kehidupan masyarakat moden kini. Walaupun perkembangan ini baik dalam industri penulisan kreatif Malaysia kini, namun penulis perlulah peka dengan tanggungjawab sebagai penulis di mana memberi ilmu yang baik kepada pembaca agar konsep ilmu yang bermanfaat itu diterapkan. Isi sesebuah novel itu perlulah menjadi cerminan nilai budaya bangsanya di mana menjadi cerminan sebuah dunia masyarakat yang serba mungkin dan makna ganda semata-mata yang terlepas sama sekali dari lingkungan pengarangnya atau teks luaran. 

ISU LIBERALISME DI MALAYSIA

(Ulasan ini berdasarkan artikal Pandangan Islam Terhadap Tradisi Dan Kemodenan oleh Khalif Muammar A. Haris)


Masa kini, masyarakat Islam masih melihat turath sebagai salah satu elemen yang tidak penting malahan bukan menjadi keutamaan daripada rujukan pegangan dalam kehidupan khususnya dalam menentukan perihal agama Islam. Turath atau mudah difahami sebagai bentuk kumpulan karya-karya ulama silam yang merakamkan pemahaman dan pentafsiran mereka terhadap al-Quran dan al-Sunah. Penghargaan terhadap turath dalam kalangan masyarakat Islam masih rendah malahan menganggap tradisi ini sebagai salah satu beban sejarah. Hal ini mungkin berlaku disebabkan kehadiran pemikiran modenis Barat malahan aliran pemikiran literalis/konservatif seperti pemikiran liberalisme.

Apa itu liberalisme? Apakah isu-isu yang berkaitan dengan aliran ini di Malaysia?
Liberal merupakan sesuatu yang bebas dan terbuka. Secara mudah untuk memahami konsep ini, aliran ini bersifat condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik (misalnya menentang hak-hak keistimewaan kaum bangsawan). Manakala aliran Islam Liberal merujuk kepada aliran yang memiliki ciri keterbukaan dan kebebasan yang lebih daripada apa yang ada dalam syariat Islam yang asli lagi tulen. Dalam konteks kini aliran ini merupakan serangan pemikiran dan kebudayaan di mana bentuk-bentuk serangan yang secara tidak langsung dilakukan bagi meruntuhkan pegangan agama masyarakat Islam masyarakat Islam yang boleh memberi kesan kepada keruntuhan Islam.  Malahan aliran ini bukan sahaja wujud dalam agama Islam, malahan dalam agama Yahudi dan Kristian. Dalam maklumat ini, perlulah diteliti berdasarkan sumber dan contoh yang muktabar.




Dalam menghadapi dunia kemodenan, ada kalangan agama yang cuba menafsirkan nas-nas agama masing-masing agar kelihatan serasi dengan perubahan zaman dan ideologi mereka sehingga terdapat sebahagian tafsiran mereka telah meruntuhkan maksud sebenar yang terkandung dalamnya. Pemisahan mutlak dilakukan antara ilmu Tuhan dan ilmu manusia, sebagaimana pemisahan dilakukan terhadap wahyu dan akal, agama dan sains, Tuhan dan manusia. Walhal pemisahan dan dikotomi seperti ini amat asing dalam tradisi Islam. Hal ini kerana wahyu menjadi penghubung antara Tuhan dan manusia. Manusia mencapai tahap kepastian dalam memperkatakan tentang halal dan haram, makhruh dan mubah.

Antara ciri-ciri fahaman liberal:
  1. Penafsiran al-Quran berlandaskan akal semata-mata (logik akalP
  2.  Mempertikaikan kesahihan al-Quran
  3.   Mendakwa al-Quran bukan wahyu Allah tetapi ciptaan Nabi Muhammad
  4. Menolak Hadis
  5. Menekankan hak-hak peribadi dan kesamarataan

FAHAMAN-FAHAMAN DIDAPATI MENYELEWENG 

ASPEK AKIDAH

  1.                 Berpegang kepada konsep Pluralisme: setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon tersendiri terhadap Realiti Yang Agung. Di mana semua agama adalah sama tarafnya.
  2.          Akal manusia adalah wahyu: wahyu adalah akal manusia yang menghidupkan teks al-quean berdasarkan tujuan dalam konteks suasana zaman
  3.            Meragui ketulinan Al-Quran: al-Quran diresapi oleh budaya Arab dan sekarang tidak releven kerana yang tinggal adalah pesanan budaya Arab.


      ASPEK SYARIAH

  1.      Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al-Quran dan Al-Hadis: mempertikaikan cara pentafsiran al-Quran yang diguna pakai kini. menggunakan pemikiran takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunah Wal-Jemaah.
  2. Menggesa tafsiran baru konsep ibadat: ‘membuka dan membebaskan” tafsiran Al-Quran sebagai alasan untuk memajukan umat Islam malah menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.
  3. Mempertikai kriteria dan akhalk kenabian: mengkritik sifat Nubuwwa
  4. Sikap-sikap terhadap ilmu Islam: buatan manusia bukan daripada ilham dari Tuhan
  5. Sikap terhadap hukum: mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.





HUKUM-HUKUM ATAU ISU YANG DIPERTIKAI FAHAMAN LIBERAL

       I.            Hukum menutup aurat dikatakan bahawa menutup aurat bukan aurat yang kita fahami tetapi menutup minda daripada unsur-unsur yang merosakkan umpamanya. Hal ini dapat dilihat bagaimana golongan ini Cuma menyesuaikan agama dengan kehidupan moden sehingga mereka tidak mengambil kira mana kewajipan serta keperluan. Kes murtad Lina Joy di mana ada golongan beragama Islam kononnya menyokong tindakan Lina Joy yang memohon dibuang agama dalam kad pengenalan. Hal ini dapat dilihat bagaimana golongan ini berpendirian bahawa agama itu hal individu seterusnya akan menimbulkan pelbagai salah faham terhadap masyarakat Islam lain. Sister In Islam (SIS) mengatakan isu Kartika Sari Dewi yang meminum arak. Mereka menggunakan hujah bahawa ‘Kartika Sari Dewi mengamalkan, mempraktiskan hak individu dia untuk minum arak. TIDAK SALAH kerana tidak mengganggu orang lain.
 IV.            Isu pelaksanaan Hudud di mana ada golongan ini yang menolak hudud. Isu hudud ini isu kebolehupayaan kita untuk melaksanakannya, dan kita sebagai umat Islam tidak perlu timbul terima atau tidak terima. Hal ini berlaku kerana golongan ini bimbang pelaksanaan Hudud akan mengganggu hal asasi individu berkaitan.
    V.            Agenda Seksualiti Merdeka yang kononnya mahu menyokong dan memberi pendedahan kepada masyarakat serta pihak berkuasa agar mengiktiraf golongan lesbian, biseksual, homoseksual dan transgender.



Kesimpulannya, cabaran umat Islam dulu dan kini serta akan datang sentiasa menjadi polimik yang berterusan. (Al-Baqarah ayat 120). Tidak dinafikan bahawa umat Islam sedang bertungkus-lumus untuk mencapai kemajuan material dan dalam pada masa yang sama berusaha untuk menjadikan umat Islam yang berkualiti dari aspek akidah dan keimanan. Namun cabaran yang cuba menggugat dengan menggunakan acuan yang diprojekkan kepada Islam adalah cabaran yang paling bahaya dan gentir sekali.



Wednesday 9 December 2015

Isu-Isu Melayu Dan Kemelayuan Kontemporari

(rumusan ini berdasarkan artikal yang terdapat dalam buku Emosi Melayu.)
Ramai sejarahwan Malaysia berpendapat bangsa Melayu hanya sebagai sebahagian daripada “pemain” dalam satu pasukan bola sepak yang terpaksa sama-sama mengejar bola dan menjaringkan gol [1]. Hal ini sama erti bahawa dalam mengerakkan kemajuan Malaysia, bangsa Melayu merupakan sebahagian daripadanya, walhal bangsa lain lebih dominan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju. Hal ini sama sekali perlu disangkal oleh masyarakat Malaysia, tetapi bangsa Melayu itu sendiri perlulah sedar dan berfikir secara kritis dalam menyelesaikan sesuatu masalah serta turun memajukan negara.
Sikap bangsa Melayu yang merasakan kedudukan mereka sudah selesa sebenarnya memudaratkan bangsa ini sendiri. Kepentingan bangsa Melayu jika dilihat kini sememangnya memberi pelbagai kemudahan. Perkara 153 Perlembagaan Malaysia telah menggariskan kepentingan serta hak istimewa bangsa Melayu dalam pelbagai aspek termasuk tanah, pendidikan serta tempat dalam penjawab awam. Oleh hal demikian, bangsa Melayu kini sudah berasa selesa dan mengambil mudah perihal perancangan masa hadapan bangsa Melayu. Sepatutnya bangsa Melayu perlu berwaspada demi masa depan generasi akan datang kerana tidak mustahil hak keistimewaan yang sedia ada akan diubah sedikit demi sedikit.

Isu-isu semasa kini sering kali menjadi sesuatu yang perlu diambil perhatian oleh semua masyarakat Melayu. Masalah berkaitan politik, sosial dan ekonomi menjadi sesuatu yang semakin hari semakin meruncing dan jika dibiarkan akan memudaratkan perjalanan empayar bangsa Melayu akan datang. Dalam perspektif kini mentaliti kritis perlu dalam kehidupan seharian semua masyarakat, khususnya bangsa Melayu. Mentaliti kritis perlu diterapkan dan diguna pakai dalam konteks kehidupan dan dalam pelbagai kondisi serta situasi. Hal ini kerana proses kehidupan amat rencam dan kompleks.
[1] Hal ini telah dipetik daripada artikel Mentaliti Kritis dalam Kalangan Masyarakat Melayu: Suatu Pengamatan Terhadap Pelbagai Persoalan Hidup Masyarakat Melayu Masa Kini halaman 235.


Jadi apa perlu kita lakukan?