Thursday, 24 December 2015

Pepatah Melayu Berkaitan Ekonomi

( ulasan ini berdasarkan artikal Pemikiran Ekonomi Masyarakat Melayu: Tumpuan Terhadap Pepatah Melayu oleh Joni Tamkin Bin Borhan dan Mohd. Yahya Bin Mohd. Hussin dalam buku Emosi Melayu)



Melayu sangat pintar dalam mencipta sesuatu yang mampu memberi dorongan serta panduan kepada generasi akan datang. Penciptaan pepatah Melayu khususnya bukan sahaja berfokus kepada fungsi menasihati atau memerli, tetapi berperanan dalam mencorakkan dan menggambarkan keadaan sosial-budaya masyarakat Melayu. Gaya hidup, politik, pendidikan, gaya hidup, kebudayaan malahan ekonomi juga terdapat dalam pepatah Melayu yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu.

Islam mengajar umatnya agar berusaha, berdoa kemudian berserah kepada Allah dalam mengaturkan rezeki mereka. Perkara ini sebenarnya dipegang oleh mereka dalam menjalankan kegiatan ekonomi. Elemen nilai, sabar, usaha, berjimat-cermat, kerjasama dan rezeki adalah perkara yang terdapat dalam pepatah Melayu khas dalam mempamerkan pemikiran bangsa Melayu kepada umum.

Kesimpulannya, pepatah Melayu merupakan suara hati dan cara berfikir orang Melayu dalam menyentuh persoalan ekonomi melalui pengajaran, nasihat dan anjuran yang terdapat di dalam pepatah Melayu. Kesemua elemen-elemen yang dinyatakan merupakan gambaran pemikiran ekonomi Melayu selari dengan nilai pemikiran Islam yang bersumberkan daripada Al-Quran dan al-Hadis, amalan sahabat dan pandangan ahli ekonomi Islam semasa. 

Kiasan Dalam Masyarakat Melayu

( ulasan ini berdasarkan artikal Emosi dan Sentimen Melayu Teruji Melalui Penggunaan Kiasan Melayu oleh Jamaliah Mohd. Ali dan Norazlina Haji Mohd. Kiram dalam buku Emosi Melayu)





Melayu sudah sinonim dengan bahasa-bahasa kiasan yang penuh makna dan pengajaran. Sifat menjaga hati serta perasaan orang lain menjadi salah satu sikap yang sebati dalam peribadi serta kebudayaan bangsa ini. Dalam mendepani arus globalisasi, masyarakat terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan yang paling tercabar apabila menghadapi kerenah manusia yang pelbagai. Perasaan yang bercampur baut disebabkan sikap khilaf seorang manusia menjadikan seseorang itu mudah melakukan kesilapan. Malahan setiap kesilapan ini mudah dilihat oleh masyarakat persekitaran. Namun, menjadi kebiasaan sikap masyarakat Melayu yang gemar mengambil tahun perihal orang lain cuba untuk menasihati atau menegur kesilapan tersebut demi kebaikan dan sebaliknya. Oleh hal demikian, teguran yang muncul dalam bentuk kiasan adalah salah satu cara terbaik dalam membetulkan kesilapan seseorang tanpa menjatuhkan air mukanya. Hal ini cukup memperlihatkan bahawa bangsa Melayu ini adalah bangsa yang cintakan kedamaian.

Kiasan sebenarnya melambangkan akal budi bangsa Melayu itu sendiri. Kegeniusan bangsa Melayu dalam memberi nasihat serta teguran tanpa memalukan individu terbabit cukup membuktikannya. Penggunaan elemen persekitaran yang logik serta bersesuaian mengukuhkan lagi  kebijaksanaan penciptaan kiasan tersebut. Pantun yang sedia maklum menjadi hak milik Melayu hanya terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu sahaja. Bagaimana penciptaannya mampu memberi inti pati kepada masyarakat selain daripada unsur kiasan yang mampu menyengat kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat.




Sikap marah dan tidak sabar sebenarnya bukan sikap masyarakat Melayu. Hal ini dapat dilihat dengan cara bagaimana orang Melayu itu menyelesaikan sesuatu permasalahan. Daripada cara mendidik anak-anak malahan kritikan terhadap pemerintah sekalipun diungkap melalui kiasan supaya tidak timbul unsur kekecohan dalam kehidupan masyarakat. Malahan kini, kiasan masih releven dalam penggunaan seharian masyarakat Melayu.  Oleh itu, menjadi kewajaran masyarakat kini dalam mengekalkan tradisi  ini sebagai tradisi yang berterusan bagi mengekalkan jati diri bangsa Melayu sehingga ke anak cucu seperti ungkap lama ‘Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. 

Pandangan Kosmologis Islam

(ulasan ini berdasarkan artikal oleh Hamid Fahmy Zarkasyi dalam Pandangan Hidup (Alam) Islam "The Worldview of Islam" Sebagai "Framework Study Islam")



Islam merupakan agama yang mampu dijadikan rujukan oleh semua golongan masyarakat. Kebenaran serta kesahihan maklumat yang terdapat dalam Al-Quran sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Segala inti pati Al-Quran sudah berada sebelum penemuan sesuatu perkara oleh ahli sains lagi.  Prinsip-prinsip Islam yang diterapkan menjadi panduan serta pandangan masyarakat terhadap orang  bukan Islam.





Penciptaan bumi dan alam semesta sudah terdapat di dalam Al-Quran malahan ia benar dan sahih. Hal ini kerana, alam dilihat sebagai ciptaan yang benar terdapat di dalam Al-Quran. Ahli astronomi Barat menggunakan ilmu dan maklumat yang terdapat dalam Al-Quran serta sarjana Islam dalam mengkaji serta menyelesaikan sesuatu persoalan mengenai alam semesta. Malah apa yang mereka temui dalam sumber Islam ini adalah benar dan sahih. 

Stereotaip Terhadap Melayu Malas

( Ulasan ini berdasarkan pemahaman daripada artikal Mitos Peribumi Malas oleh Syed Hussien Al-Attas)


Sering kali kita mendengar tentang tanggapan bahawa peribumi malas khususnya terhadap golongan bangsa Melayu. Hal ini sebenarnya sudah menjadi satu tanggapan atau stereotaip yang paling utama bangsa lain malahan ada juga bangsa Melayu juga melihat bahawa kenyataan ini benar. Sejauh mana kebenaran ini?

Tanggapan ini muncul apabila pihak kolonial berupaya mempengaruhi mentaliti masyarakat tentang tanggapan ini. Motifnya mudah, untuk menjatuhkan keyakinan serta menguasai ekonomi Tanah Melayu satu ketika dahulu semasa zaman penjajahan mereka. Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang mengutamakan tradisi. Sebab itulah, kita lihat orang Melayu selesa berada di kawasan kampung kerana mereka mahir dalam melakukan pekerjaan tradisional seperti bertani, nelayan dan menternak. Sehingga kini, pekerjaan ini masih di dominasi oleh masyarakat Melayu. Mungkin orang melihat bahawa kedai-kedai di bandar di kuasai oleh bangsa Cina dari dahulu sehingga kini. Walhal hal ini merupakan kesan dasar kerajaan iaitu Dasar Ekonomi Baru di mana menetapkan bahawa bangsa Melayu menjalankan kegiatan ekonomi di kawasan pendalaman atau desa, bangsa India di ladang atau estet, dan bangsa Cina di kawasan Bandar. Kesan ini yang dapat dilihat sehingga sekarang. Bagi menjawab persoalan mitos peribumi malas ini, perlu dahulu dikaji secara mendalam kebudayaan serta kegiatan harian masyarakat Melayu.



Stereotaip ini masih lagi menjadi persoalan terhadap generasi kini. Tapi jika kita teliti kembali, bangsa Melayu kini bukan seperti yang digambarkan oleh Barat dahulu. Sekarang sudah ramai bangsa Melayu terlibat dalam pembangunan ekonomi negara. Melayu sememangnya terikat dnegan kehendak syariat Islam. Hal ini bukan menjadi bebanan atau punca kepada situasi ini, tetapi menajdi keistimewaan kerana Islam menolak sistem Kapitalis malahan terhadap pekrjaan yang tidak boleh dilakukan oleh umat Islam demi memelihari kesucian agama Islam itu sendiri. Industri perniagaan sudah melibatkan bangsa Melayu. Malahan mereka menjadi dominasi terbesar dalam dunia perniagaan sehingga ramai jutawan daripada bangsa Melayu lahir. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga dikuasai oleh golongan peribumi dan mereka maju sehingga produk mereka bukan sahaja terdapat di Malaysia malahan di luar negara. Jumlah pelajar Melayu juga banyak berbanding dengan bangsa lain. Hal ini cukup membuktikan bahawa tanggapan bahawa golongan Melayu itu malas sama sekali tidak boleh dikira. 

TOLERANSI DALAM ISLAM DI MALAYSIA

( ulasan ini berdasarkan artikal Islam dan Falsafahnya dalam Kebudayaan Melayu oleh Idris Zakaria)



Sebelum Islam bertapak di Dunia Kepulauan Melayu, sedia maklum bahawa kebudayaan serta kepercayaan masyarakat Melayu ketika itu di pengaruhi oleh kebudayaan serta kepercayaan Hindu- Buddha. Malahan kerangka fikiran masyarakat ketika itu juga dipengaruhi oleh unsur mitos dan khayalan di mana tidak memberi sebarang kefahaman akan kepentingan aspek-aspek rasionalisme dan intelektualisme. Namun kehadiran agama Islam telah membawa kepada transformasi besar-besaran yang melibatkan perubahan falsafah kehidupan, pemikiran dan jiwa orang-orang Melayu di Alam Melayu.  Bagaimana falsafah dan Islam mudah diterima dalam kebudayaan masyarakat Melayu walaupun asal kepercayaan masyarakat Melayu dahulu adalah berlainan daripada landasan agama Islam?


Islam mengamalkan ajaran dan kehidupan yang penuh toleransi dan damai. Islam yang direka oleh Barat khususnya yang membawa kepada pandangan bahawa Islam adalah agama keganasan, agama pemberontak malah agama yang membenci kedamaian sama sekali tidak berasas. Hal ini kerana Islam itu sendiri bersifat pemurah dan damai. Bagaimana kehendak Islam itu sendiri yang cintakan keamanan. Syarat-syarat berperang mengikut Islam sudah cukup memperlihatkan bagaimana Islam itu bersifat damai dan toleransi. Di Malaysia, toleransi ini dapat dilihat dalam penerimaan kepelbagaian agama dalam masyarakat serta menghormati kepercayaan masyarakat sekeliling tanpa berlakunya pertumpahan darah. Bagaimana pembinaan masjid serta gereja boleh dibina bersebelahan tanpa mengundang permasalahan cukup mempamerkan bahawa Islam itu bersifat damai dan toleransi khususnya perihal hal kepercayaan masing-masing selagi tidak mengundang kepada kekeliruan masyarakat.   



Toleransi ini juga dapat dilihat dalam isu makanan halal masyarakat Islam. Sedia maklum mengetahui bahawa khinzir merupakan bintang yang haram di makan dan disentuh oleh umat Islam. Namun, Islam tidak mengganggu agama lain memakannya selagi agama lain menghormati kehendak serta panduan malah sensitiviti masyarakat Islam. Isu anjing yang diletakkan di dalam troli sebuah pasar raya awam di Malaysia baru-baru ini merupakan salah satu isu yang sangat sensitif untuk masyarakat Islam. Namun ia berjaya diredakan apabila pihak pasar raya tersebut telah menyucikan kesemua troli tersebut mengikut syariat Islam bagi menghormati masyarakat Islam. Hal ini mungkin telah diatasi dengan tenang kerana Islam itu sendiri cukup memberi masyarakat sekelilingnya menyenangkan dan memudahkan.